WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Analisis Diskusi Terbuka Penubuhan Kesatuan Mahasiswa (KM) UMS

Analisis Diskusi Terbuka Penubuhan Kesatuan Mahasiswa (KM) UMS

Oleh: Suara Mahasiswa UMS

Pada 29 Julai 2019, Suara Mahasiswa UMS telah mendengar pencerahan berkenaan perancangan ke arah penubuhan Kesatuan Mahasiswa UMS (KM) yang telah dibentangkan oleh wakil MPP UMS. Terdapat beberapa perkara yang mengambil perhatian kami dalam perancangan menuju ke proses pembentukan KM:

Proses Pembentukan KM Merupakan Catuan daripada KPM Bukan Mahasiswa Sendiri

Berbalik kepada konteks pendefinisian Kesatuan Mahasiswa yang memperuntukkan idea asli daripada mahasiswa sendiri untuk menentukan acuan pembentukan KM. Campur tangan KPM dalam menentukan dasar jelas melanggar prinsip asal KM. Hal ini demikian berdasarkan pembentangan kertas cadangan pembentukan KM yang dilakukan oleh Saudara Jivean, kebanyakannya adalah cadangan terus daripada pihak KPM iaitu Dr.Zaid Omar yang diberikan sewaktu bengkel pencerahan KM bertarikh 14/07/2019 lepas.

Keterlibatan Pentadbiran dalam Taskforce untuk Menentukan Dasar KM

Taskforce merupakan badan bebas yang dianggotai oleh wakil persatuan, JAKMAS, fakulti, proksi, individu dan wakil pentadbiran, dimana mereka bertanggungjawab untuk merangka dasar KM di UMS. Kewujudan entiti yang tidak berkepentingan dalam KM iaitu wakil pentadbiran adalah tidak selaras dengan pengembalian autonomi mahasiswa seperti yang dicanang-canangkan oleh Menteri Pendidikan Dr. Mazlee Malik. Sepatutnya, dasar KM perlu dibentuk oleh mahasiswa tanpa ada pengaruh mana-mana pihak.

Perancangan yang Terlalu Idealistik

Pembentukkan KM seharusnya mengikut proses secara berperingkat bagi merebut autonomi penuh bukannya terburu-buru sehinggakan mahasiswa tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai sebuah kesatuan yang baru dibentuk. Pemberian tanggungjawab untuk KM menguruskan segala program pelajar secara keseluruhan dengan sistem dan ekonomi yang tidak jelas adalah suatu yang tidak masuk akal. Pembentukkan KM seharusnya datang dari aspirasi mahasiswa bukan sekadar hendak memenuhi kemahuan pihak kementerian dan impian bekas Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin yang tiada kena-mengena dengan keperluan dan kebajikan mahasiswa. Lebih penting adalah proses pembentukan KM ini biarlah selaras dengan konteks kemampuan, acuan dan sosiobudaya mahasiswa di UMS.

Tidak Mempunyai Rancangan Khusus yang Memihak Secara Terus Kepada Mahasiswa

Perancangan pembentukan KM yang dicadangkan tidak menyebut berkenaan perancangan yang secara khusus berkenaan kepentingan KM kepada mahasiswa khususnya berkaitan dengan kebajikan pelajar. Hal ini berkemungkinan besar akan menjurus kepada ketidakpedulian mahasiswa terhadap fungsi KM. Amat mustahak untuk memberi penerangan dengan mahasiswa mengenai kelebihan dan jaminan hak serta kebajikan mereka untuk bernaung dibawah kepimpinan organisasi yang baharu menggantikan MPP sebelum proses penubuhan KM diteruskan.

Keterlibatan Pihak Luar Selain Mahasiswa UMS di Dalam Perbincangan

Sewaktu diskusi dijalankan, terdapat pihak yang tidak berkepentingan iaitu pihak keselamatan SB seramai 2 orang hadir di dalam bilik tersebut. Kehadiran mereka seolah-olah tidak menghormati diskusi yang dianjurkan oleh mahasiswa sendiri. Ini menunjukkan bahawa tindakan mahasiswa untuk berdiskusi berkenaan penubuhan KM adalah sesuatu yang bakal menggugat universiti. Tambahan pula, kehadiran mereka merupakan suatu penghinaan kepada KM yang bakal ditubuhkan atas dasar menjunjung autonomi penuh mahasiswa dalam konteks berdiskusi. Untuk makluman, suara mahasiswa juga tidak dimaklumkan dengan kehadiran mereka di dalam diskusi tersebut.

Pendaftaran KM yang Dicadangkan Adalah Tidak Releven

Cadangan pendaftaran KM dibawah ROS adalah sangat tidak relevan. Hal ini akan menyebabkan pertindihan dasar. Kita tidak mahu meng-NGO kan KM kerana dasarnya masih melihat kepada pembentukan sesebuah universiti itu sendiri. Mahasiswa universiti masih tertakhluk kepada undang-undang Universiti selagimana undang-undang tersebut tidak menyekat dan membungkam suara-suara mahasiswa.

Pemilihan dalam Organisasi KM

Cadangan pemilihan yang diberikan untuk memisahkan dua kelompok utama dalam organisasi KM iaitu 4 Top secara presidential debate dan EXCO secara Pilihanraya Kampus adalah tidak releven. Keseluruhan pemilihan organisasi KM haruslah dilakukan secara menyeluruh dan demokrasi hasil daripada Pilihanraya Kampus seperti sebelumnya. Namun, Sistem pengundian organisasi mestilah dijalankan secara manual dan dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa. Terma MPP dalam organisasi KM juga perlu untuk dihapuskan agar tidak berlaku pertindihan tugas di dalam organisasi. Hal ini kerana KM juga pasti mempunyai EXCO yang akan melaksanakan bidang tugas MPP. Jika terma tersebut tidak dihapuskan maka, KM akan mempunyai dua EXCO dalam satu masa yang sama. Kewujudan dua kelompok dalam satu organisasi ini akan mengelirukan mahasiswa.

Justeru, Suara Mahasiswa UMS menuntut agar autonomi dikembalikan seratus-peratus kepada mahasiswa dan tidak ada campur tangan daripada mana-mana pihak lain. Keputusan-keputusan juga harus memihak secara terus kepada mahasiswa dan dilaksanakan bukan untuk kepentingan peribadi. Kita tidak mahu KM pada akhirnya menjadi MPP Volume 2. Suara Mahasiswa akan sentiasa bersifat radikal dalam membentuk kesatuan yang jelas memihak kepada nasib mahasiswa. Akhir sekali, pendirian Suara Mahasiswa berkenaan proses penubuhan KM adalah KM perlulah dibentuk mengikut acuan mahasiswa dan harus melihat kepada kemampuan serta sosio-budaya di setiap universiti masing-masing.

“There must be not a balance of power, but a community of power, not organized rivalries, but an organized peace”-Woodrow Wilson

” Dari mahasiswa kepada mahasiswa, dari mahasiswa untuk rakyat Malaysia”

Leave a Reply

Close Menu