Anakronisme dalam Tradisi Pensejarahan Melayu
Sumber Imej: https://kupelema.wordpress.com/2010/11/26/manuskrip-melayu-acheh-msac1/

Anakronisme dalam Tradisi Pensejarahan Melayu

  • Post category:Sejarah

Oleh: Bayu Bawah Angin

Istilah anakronisme berasal daripada bahasa Yunani iaitu merujuk kepada perkataan anachronus. Anakronisme sebenarnya berasal daripada cantuman dua perkataan, iaitu ana, yang bererti pertentangan dan chronus yang bererti masa. Jadi anachronus membawa erti “pertentangan dengan masa”. Istilah anachronus sebenarnya adalah satu konsep dan persoalan yang menyentuh tentang masa yang bertentangan dengan masa yang sebenar.

 Anakronisme pada sebuah karya yang sama

Contohnya, dalam karya Sejarah Melayu, terdapat dua buah edisi yang berlainan iaitu dari R.O Winstedt dan satu lagi dari W.G Shellabear. Sejarah Melayu dalam versi R.O Winstedt dan Shellabear dilihat terdapat perbezaan isi cerita berdasarkan watak dan tempat. Sejarah Melayu versi R.O Winstedt dilihat lebih tua jika dibandingkan dengan versi Shellabear. Melalui dua versi ini terdapat perbezaan watak dalam peristiwa perkahwinan Sri Tri Buana. Melalui versi R.O Winstedt, Sri Tri Buana dikahwinkan dengan anak Demang Lebar Daun iaitu Wan Sendari. Hasil dari perkahwinan tersebut Sri Tri Buana telah dikurniakan dua orang putera yang dilahirkan di Temasik iaitu negeri yang baru dibuka oleh Sri Tri Buana. Namun, berbeza pula menerusi versi Shellabear, dalam versi ini Sri Tri Buana dikenali sebagai Sang Sapurba yang berkahwin dengan Wan Sendari dan dikurniakan dua orang putera dan dua orang puteri iaitu Sang Manika, Sang Nila Utama, Puteri Sri Dewi dan Puteri Cendana Dewi yang dilahirkan di Palembang.

Anakronisme dengan membandingkan dua buah buku teks sejarah yang berlainan terhadap peristiwa yang sama.

Dalam Bustan‘us-Salatin, dikisahkan bagaimana Sultan Acheh menghantar seorang Duta ke Turki, justeru untuk mendapatkan bantuan tentera dan senjata untuk menentang Portugis. Utusan ini telah berjaya juga mendapatkan bantuan pakar membina kota dari Turki. Antara lain kitab ini menyebut:

“kemudian dari itu maka kerajaan Sultan Alauddin Riayat Syah ibn Sultan Ali Mughayat Syah, pada hari isnin….menyuruh utusan kepada Sultan Rom ke Istanbul, kerana meneguhkan agama Islam. Maka dikirim Sultan Rom daripada jenis utus dan tahu menuang bedil. Maka pada zaman itulah dituang orang meriam yang besar-besar. Dan ialah pertama-tama ghazi dengan segala kafir…dan itulah disebut orang akan dia Marhum Kahar.”

Ini bermakna bahawa yang melakukan peristiwa sejarah ini ialah Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Kahar, 946-975H (1539-1567).

Dalam Hikayat Sultan Acheh Marhum pula, ada disebut peristiwa yang sama. Peristiwa sejarah ini dikisahkan dengan lebih terperinci lagi. Kononnya, dua buah kapal berisi dengan lada yang bakal dipersembahkan kepada raja Turki telah dihantar ke Barat. Utusan ini mengambil masa yang sangat lama untuk sampai ke Turki sehinggakan lada-lada tersebut habis dijual di pertengahan jalan.

Apabila mereka sampai ke Turki, Cuma dua cupak lada yang tinggal. Inilah yang dipersembahkan kepada raja Turki itu. Sebagai balasannya, utusan ini telah dianugerahkan senjata dan meriam yang sangat besar buatan Turki. Untuk mengingati peristiwa ini, orang Acheh menggelar meriam besar itu sebagai “Lada Sicupak”. Tetapi peristiwa ini terlalu berbeza dengan peristiwa yang terdapat dalam Bustan’us-Salatin.

Hikayat ini menerangkan bahawa yang melakukan penghantaran ini bukannya Sultan Alauddin, tetapi Sultan Acheh yang masyhur iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam(1606-1636/7M). sedangkan jarak jangka masa kedua–duanya memerintah ialah satu abad lamanya.

Faktor Terjadinya Anakronisme Dalam Tradisi Pensejarahan

Penulis boleh membuat tokok tambah isi yang diperlukan dengan sesuka hati ataupun menidakkan mana-mana isi yang dirasakan tidak diperlukan. Hal ini berlaku disebabkan pada ketika itu tindakan tokok tambah tidak dibantai dan tiada peraturan yang wujud berkenaan perkara tersebut.

Selain itu, sosiobudaya masyarakat dan budaya-jiwa penulis muncul lantaran semangat zaman itu, dan norma sosiopolitik semasa. Dalam masyarakat tradisional Melayu sebelum pertengahan abad ke-19, seorang penulis yang hubungannya rapat dengan golongan istana, pasti tidak dapat lari dari keadaan dan kehendak keliling iaitu menyanjung raja, istana dan golongan pemerintah pada zamannya.

Pihak yang menjadi pelindung atau penaung, perlu diberikan tempat yang sebaik-baiknya. Ini bermakna bahawa penulis secara langsung atau tidak, sedar akan kuasa dan peranan sosiopolitik yang bergerak di belakangnya.

Tambah lagi, semasa proses penyalinan dan penerbitan, masalah salah tafsiran ataupun kesilapan pembacaan oleh penyalin atau penterjemah sering sahaja timbul. Keadaan seumpama ini berlaku disebabkan penyalin yang menyalin naskhah asal tidak faham isi kandungan naskhah asal.

Kesan-Kesan Anakronisme

Kesan penting anakronisme dalam penulisan sejarah Melayu adalah kesukaran untuk menerima karya tersebut sebagai sumber sejarah yang utama. Keadaan ini akan menambahkan kelemahan bagi hasil karya tersebut. Oleh itu, hal ini akan dijadikan alasan oleh sesetengah sarjana untuk tidak menerima karya sejarah Melayu sebagai sumber sejarah penting melainkan hanyalah mitos atau lagenda.

Di samping itu, anakronisme yang berlaku dalam penulisan ini juga telah menyebabkan timbul kekeliruan dalam menentukan peristiwa yang betul dan tepat. Contohnya, perbezaan yang wujud antara pelaku sejarah bagi peristiwa yang sama misalnya peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang.

 Terdapat perbezaan yang berlaku dalam penulisan bagi edisi R. O. Winsted dan W. G. Shellabear. Adalah menjadi persoalan siapakah sebenarnya Sultan Melaka yang telah mengarahkan utusan peminangan tersebut.

Kewujudan anakronisme dalam pensejarahan Melayu menyebabkan karya tersebut tidak dianggap sebagai tulisan yang berbentuk ilmiah. Contoh yang boleh dilihat adalah dalam penghasilan karya tempatan iaitu Riwayat Kinta yang ditulis oleh Abdul Talib Haji Ahmad. Walaupun karya ini masih boleh dianggap sebagai salah satu sumber sejarah disebabkan oleh kekurangan sumber yang lain namun jika dilihat dari aspek penggunaan sumber ternyata tidak begitu memuaskan.

Leave a Reply