WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Ali dalam ‘The Malay Archipelago’ Wallace

Ali dalam ‘The Malay Archipelago’ Wallace

Oleh: Nur Huda

Alfred Russel Wallace menjelajah Kepulauan Nusantara selama lapan tahun (1854-1862), merentasi Makasar, Kepulauan Maluku, Papua, Jawa, Bali, Lombok, Sarawak, Singapura dan Sumatera. Sepanjang ekspedisi, beliau berjaya mengumpulkan 125,660 spesimen serangga, burung, reptilia, mamalia dan kerang-kerangan. Ekspedisi ini telah membawa kepada penghasilan karya monumentalnya, The Malay Archipelago, salah satu karya klasik dalam sejarah perkembangan sains.

Penemuan-penemuan dari ekspedisi ini memberikan Wallace pengiktirafan sebagai saintis yang menemui teori pemilihan semula jadi (natural selection). Malah satu spesis burung cenderawasih, Semioptera wallacii yang dijumpai ketika ekspedisi tersebut telah dinamakan bersempena nama beliau.

Pencapaian dan koleksi ekstensif Wallace di Asia Tenggara tidak mungkin diperoleh tanpa bantuan orang-orang tempatan. Menjelajahi hutan, sungai dan gunung, berjalan dan berperahu selama lapan tahun, Wallace dibantu oleh sepasukan pemandu, tukang masak, kru kapal, penangkap serangga dan haiwan, penembak burung, pelapah kulit dan pekerja rencam.

John van Wyhe, sejarawan sains dari National University of Singapore menulis “Di setiap tempat yang disinggahinya, di setiap kota, Wallace mendapat bantuan dari penduduk setempat. Malah, sebahagian besar spesimen yang dikumpulkannya diperoleh hasil bantuan orang-orang tempatan”. Juga terdapat rekod yang menunjukkan lebih 100 lelaki tempatan berkerja untuk Wallace sepanjang ekspedisinya, termasuk 30 orang pengumpul spesimen.

Di antara ramai warga tempatan yang membantu Wallace, pembantu yang paling dipercayai Wallace adalah Ali, remaja Melayu berumur 15 tahun dari Sarawak. Ali sangat istimewa kepada Wallace sehingga beliau menyebut nama Ali beberapa kali dia dalam autobiografinya, My Life: A Record of Events and Opinions. Ali menurut Wallace adalah seorang pemuda yang sangat cerdas, disukai, dipercayai dan cekap.

Pada mulanya Ali adalah tukang masak dan pembantu peribadi kepada Wallace. Di samping itu, Ali membantu Wallace mempelajari bahasa Melayu. Ali juga mahir mengemudi perahu, maka beliau selalu mengikut Wallace mengumpul spesimen dan menembak burung. Sambil berkerja beliau belajar menembak burung dan memproses spesimen. Akhirnya beliau mahir dalam menguruskan spesimen dan menjadi ketua kepada pembantu-pembantu Wallace.

Tugas-tugas menembak burung dan memproses spesimen diserahkan sepenuhnya kepada Ali sementara Wallace menumpukan perhatian kepada kajian serangga. Ali menangkap dan memproses sebahagian besar spesimen burung yang direkodkan oleh Wallace. Inilah yang membawa kepada penemuan burung cenderawasih yang melonjakkan nama Wallace dalam dunia sains natural.  Ali yang menemukan burung tersebut menyerahkan kepada Wallace untuk membuat pengecaman. Wallace kemudiannya mendapati burung tersebut adalah spesis baru yang belum pernah dikelaskan secara taksonomi. George Robert Gray, ornitologis di British Museum menamakan burung tersebut sempena nama Wallace. Burung itu kemudian juga dianggap penemuan terbesar Wallace dalam kerjayanya.

Ali dan peranannya pernah direkodkan di dalam penerbitan, jurnal, buku nota, surat dan sumber-sumber lain termasuk yang tidak rasmi. John van Wyhe, ahli sejarah dari Universiti Singapura menelusuri catatan-catatan tentang Ali untuk membawa sosok ini keluar dari selindungan sejarah supaya sumbangan besarnya boleh dihargai. Wyhe malah telah melawat Ternate, tempat terakhir Ali direkodkan berada, untuk mendapatkan maklumat tentang Ali dari penduduk tempatan.

Ali mula berkerja dengan Wallace pada Disember 1855 di Sarawak, di mana Wallace melihat orang utan buat pertama kali. Pada Februari 1856 Wallace meninggalkan Sarawak menuju Singapura, membawa Ali bersama beliau. Di Singapura, Ali melihat seekor harimau hidup. Kemungkinan harimau itu ditangkap hidup-hidup di Bukit Timah dan dipamerkan di hadapan umum.

Pelayaran mereka yang seterusnya adalah dari Singapura ke pulau Lombok. Dalam perjalanan, mereka berhenti di pulau Bali selama dua hari. Dalam perlayaran ini, Ali berkenalan dengan Manuel Fernandez, seorang Portugis dari Melaka yang mahir dalam memproses spesimen burung. Ali belajar kemahiran memproses spesimen burung dari Fernandez.

Pelayaran mereka kemudiannya ke Kepulauan Makassar dan Aru. Di Makassar, Ali diserang demam malaria dan dipercayai dirawat dengan kuinin. Ini antara rekod awal rawatan malaria menggunakan kuinin. Pada tempoh itu, rekod catatan Wallace menunjukkan perkembangan koleksi yang perlahan. Ini membuktikan sumbangan besar Ali dalam pengumpulan spesimen untuk Wallace.

Dari Kepulauan Aru, mereka mengunjungi Maros di sebelah utara Makassar. Pada tahun 1857, Wallace dan Ali bertolak dari Makassar dengan kapal Belanda, merentasi Manokwari, Ternate, Gilolo, Tidore, Kaioa dan Batchian, Pulau Buru dan kemudian Ternate lagi. Di Ternate, Wallace mendatangkan teori evolusi versi ‘pemilihan semulajadi’ dan menulis satu esei tentangnya. Artikel tersebut dihantar kepada Charles Darwin, yang kemudiannya terinspirasi untuk menulis On the Origin of Species.

Pelayaran mereka seterusnya menaiki kapal wap ke Menado dan Makasar, kemudian ke Jawa untuk mengumpul lebih banyak spesimen. Mereka sampai di Surabaya sebelum ke Batavia (Jakarta). Mereka kemudian pergi ke Sumatera melalui Bangka dan menaiki kapal ke Palembang dan seterusnya Singapura. Di sini mereka berpisah apabila Wallace meninggalkan Singapura kembali ke Britain.

Ketika berpisah, Wallace memberikan Ali dua senapang berserta peluru. Buat pertama kalinya, Ali memakai pakaian Eropah; jaket sut dan tali leher. Gambar Ali dengan pakaian ini disimpan di Natural History Museum, London.

Satu kisah lain yang diketahui mengenai Ali adalah tentang perkahwinannya dengan seorang wanita Ternate, pada awal 1859. Wallace menulis, “Ali mengahwini seorang wanita Ternate tetapi dia tinggal bersama keluarganya, dan tidak ada bezanya dia menemani saya ke mana sahaja saya pergi sehingga kami sampai di Singapura dalam perjalanan pulang”. Setelah berpisah dengan Wallace di Singapura, Ali dilaporkan kembali ke Ternate.

Dari jumlah keseluruhan 125,660 spesimen yang direkodkan oleh Wallace, berapa sebenarnya yang dikumpulkan oleh Ali? Dikatakan bahawa Charles Allen, pembantu Wallace yang dibawa dari Britain mengumpulkan kira-kira 40,000 dari jumlah tersebut. Walaupun Ali bukan satu-satunya pembantu Wallace, mengambil kira tempoh berkerja yang lama dengan Wallace, ditambah pula dengan kemahiran dan motivasi yang tinggi (diakui sendiri oleh Wallace dalam catatan beliau), tentulah koleksi yang dilakukan oleh Ali sangat banyak. Ada kemungkinan jumlahnya mencapai berpuluh ribu. Namun, hanya dapat dibuktikan bahawa Ali mengumpulkan burung, yang merupakan bahagian yang jauh lebih kecil dari jumlah koleksi, iaitu 8,050 spesimen. Terdapat ribuan spesimen burung di muzium di UK dan Eropah yang dipercayai diproses dan disediakan oleh Ali.

Ali masih menjadi sosok misteri di dalam pelayaran Wallace. Namun tidak dapat disangkal bahawa tanpa kehadiran Ali, Wallace tentunya tidak mendapat pencapaian sepertimana yang didapatinya hari ini.

Pada tahun 2015, Isabelle Desjeux, ahli biologi molekular menemuramah penduduk Ternate yang mendakwa pernah berjumpa Ali. Menurutnya nama sebenar Ali ialah Buang bin Muhammad Ali. Sehingga kini, pencarian maklumat tentang Ali masih diteruskan.

*Sebahagian besar rujukan artikel ini adalah “I am Ali Wallace“: The Malay Assistant of Alfred Russel Wallace oleh John van Wyhe dan Gerrell M. Drawhorn dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.

Leave a Reply

Close Menu