Akibat Bekerja, Menurut Marx

Akibat Bekerja, Menurut Marx

  • Post category:Ideologi

Oleh: Farahani R

Menyebut Karl Marx, orang akan gerun. Mendengar Karl Marx, orang akan takjub (atau taksub) dengan pemahaman ekonomi dan masyarakatnya. Secara peribadi, saya juga sedikit terpengaruh dengan Marx kerana prinsip dialetika materialismenya begitu teguh dalam mana-mana pengkajian sejarah khususnya dalam sub-bidang hubungan ekonomi dengan masyarakat. Apatah lagi dalam kajian sains sosial yang cuba mempersoal apa permasalahan terselindung dalam sesuatu keadaan masyarakat.

Kali ini, saya tidak akan berbicara keseluruhan idea Marx. Itu memerlukan orang yang lebih bijak berwacana soal pemikiran-pemikirannya. Kali ini, saya memetik salah satu teorinya yang saya nukilkan aplikasinya pada pengalaman langsung saya di universiti. Boleh rujuk buku terbitan Republik Buku/ Fajar Kiri Publication Sdn. Bhd., pada tahun 2018 bertajuk ‘Anti-Universiti’. Kali ini, saya akan merungkai sepintas lalu mengenai teori alienasinya.

Apabila kita bekerja terutamanya di bawah mod kapitalis, kita akan mudah hilang sifat perikemanusiaan. Ataupun rasa menjadi manusia. Daripada manusia yang baharu saja masuk bekerja, kita akhirnya ‘direndahkan’ darjat menjadi sekadar mesin-mesin bertenaga. Perasaan itu kita simpan tepi. Yang penting gaji masuk untuk hidup pada bulan ini. P. Ramlee sudah selit ayat ini dalam salah satu filemnya Do Re Mi: ‘KEBOLEHAN: TAHAN MAKI’ – itu ditulis huruf besar, digarisi sopan beralun.

Marx menulis pada 1844, terdapat empat jenis bentuk alienasi (pengasingan) yang wujud dalam kalangan pekerja. Keempat-empat ini boleh menjadi suatu situasi yang berkembang dari bentuk pertama dan diakhiri dengan bentuk keempat, atau ia boleh tersekat dalam bentuk itu sepanjang pekerjaannya.

Pertama; alienasi terhadap pekerja daripada produknya.

Seorang arkitek membinanya menurut spesifikasi yang begitu wajar. Spesifikasi yang sempurna dengan sifat geografikal setempat, budaya dan bahan-bahan berkualiti. Semua yang dirancangkan diselaraskan dengan kualiti terbaik dari ilmunya selama tiga-empat tahun di universiti. Kemudian, datanglah majikan pembangunan yang bertegas menyuruhnya menjimat-jimatkan kos. Arkitek termanggu, penjimatan ini bakal menganggu kualiti yang selama ini diajarkan di fakultinya. Majikan pembangun peduli apa, yang mana boleh pakai – itulah diguna. Maka arkitek merancang semula dan pelukis pelan melukis semula. Arkitek dan pelukis pelan siap dengan pelan bangunan baharu. Dihulurkan pada majikannya dengan rasa risau, sakit hati. Kerana apa? Kerana mereka hilang ‘hak’ dan ‘suara’ terhadap produknya. Itulah bentuk pertama.

Kedua; alienasi terhadap pekerja daripada cara produksi sesuatu barangan.

Seorang pekerja kilang masuk melapor diri pada hari pertama. Dia dibawa pusing satu kilang dengan pengurusnya. Hari kedua, pekerja ini penuh semangat dan inspirasi untuk menyumbang sesuatu pada kilangnya. Hari ketiga, pekerja ini mulai menghafal bagaimana susunan alat yang dipasangnya. Papan-alat warna biru-alat warna merah-perintang-cip. Papan-alat warna biru-alat warna merah-perintang-cip. Hari ketiga puluh, bapanya datang melawat rumahnya selepas waktu bekerja sudah tamat. Bapanya bertanya, apa benda yang kamu pasang di kilang tu? Jawabnya, entah. Hari keseratus, dia sudah hafal di mana tandas dan di mana kantin dan bagaimana alat itu dipasang. Tapi dia sendiri tidak peduli untuk apa alat itu dipasang. Pengurusnya tidak pernah bertanya, dan tidak pernah meminta pendapat dirinya. Maka untuk apa dikisahkan alat itu fungsinya apa melainkan cara dia hidup bergaji? Itu, kalian, adalah bentuk kedua.

Ketiga; alienasi terhadap pekerja dengan sifat dan potensi dirinya.

Meminjam dari kilang contoh di atas, seorang pekerja ini baru diambil menjadi pengurus baharu. Usai dia membawa pusing seorang pekerja rendah di bawah jagaannya, dia disuruh meneliti laporan dan membuat lebih banyak laporan tentang prestasi pekerja-pekerjanya. Melihat persekitaran pejabatnya, dia melihat tandas yang sudah lama dan kantin yang tidak begitu menyelerakan makanannya. Maka dia membuat laporan penambahbaikan dan menghantarnya pada pihak atasan. Laporan itu bertarikh tahun lalu. Tahun ini, keadaannya masih sama. Suaranya disenyapkan ketika mesyuarat. Asal saja buka mulut; “Nah inilah generasi Y, lepasan universiti, manja!” Lalu bagaimana dia mahu pamerkan kepimpinannya kepada pekerja dan majikan? Dia sudah malas peduli pada tahun kelima. Apa yang jadi, jadilah. Dulu dia pemimpin disegani mahasiswa. Sekarang dia cuma badut segak yang diam-diam malu sendiri dengan sifatnya kini. Yang penting kerja.

Keempat; alienasi terhadap pekerja dengan pekerja yang lain.

Di pejabat berkubikel, semua pekerja secara psikologinya dipisahkan antara satu sama lain. Muka harus menghadap bawah dan tegak pada apa-apa di depannya kecuali wajah pekerja di sebelahnya. Pembuat idea pejabat kubikel menasihati para pengguna kubikel untuk menikmati suasana kerja dengan penumpuan optimum pada kerja-kerja yang diberi. Sudah tentu, fokus itu baik. Tapi anda sudah pandai lupa bagaimana wajah pekerja sementara yang baru masuk menggantikan pekerja selang tiga baris dari kubikel anda kerana entah apa (sebab anda tidak peduli) kerana tidak pernah bercakap dengannya. Anda sibuk dengan kertas-kertas terhimpun menggunung. ‘Jom lepak!’ itu akhirnya sekadar cakap-cakap pemanis mulut. Semata-mata penghangat bicara. Setakat niat separuh ikhlas. Bini di rumah mengomel anda asyik membawa kerja ke rumah. Laki di rumah menjeling melihat nur telefon di muka penat anda yang kerapkali berbunyi. Anak sudah malas duduk sebelah anda dan lebih selesa bermain tablet yang anda beli dahulu kerana inginkan ruang senyap untuk kerja anda.

Menyimpulkan keempat-empat bentuk ini, kita boleh melihat perkembangan kehilangan diri bermula dari kreativiti terhadap produksi sesebuah barang, cara pembuatan barang tersebut, potensi dirinya untuk melakukan sedikit perubahan pada barang tersebut dan akhirnya kehilangan identitinya sebagai makhluk sosial yang perlu berhubungan dengan manusia lain.

Semua ini ditulis dalam perspektif seorang pekerja dalam syarikat yang mampu membina tenaga produktif namun enggan mengiktiraf tenaga ini sebagai manusia biasa yang harus dihormati batasan masa, kapasiti peribadi (agama, jantina, budaya) dan segala perkara-perkara yang membuatkan manusia itu manusia. Alienasi secara asasnya ialah apabila anda menyerahkan kawalan dan sifat anda sebagai manusia lalu memisahkan aspek nurani dalam kerja. Kita akhirnya dilihat sebagai suatu komoditi yang berhempas pulas di belakang tabir, akhirnya jika anda mati hari esok, anda akan mudah digantikan semula pada hari lusa atau tulat.

Mungkin kita boleh bermain-main dengan idea Bertrand Russell yang menganjurkan bahawa sebaiknya manusia itu bekerja selama empat jam sahaja. Manakala sepanjang hari dari empat jam itu mengizinkan ruang memantapkan dirinya sebagai manusia. Biarkan dia membuat hobi-hobinya dan merasakan pengalaman hidup yang lebih bermakna.

Namun itu cakap-cakap seorang filasuf bernama Bertrand Russell. Alienasi juga adalah hanya teori seorang idealis. Di Malaysia, kita tidak akan bebas dari menerima reduksi identiti sebegitu. Dari awal persekolahan, kita sudah diajar oleh institusi keluarga bahawa peperiksaan itulah jalan kebahagiaan. Tapi ditegur mengapa pelajar tidak berfikiran kritis? Dari awal tingkat SPM, kita sudah disogok bahawa universitilah destinasi yang anda cari. Tapi ditegur mengapa pelajar tidak berkualiti? Dari awal universiti, kita sudah dinilai oleh Kementerian sebagai sumber guna tenaga yang perlu mahir segalanya dalam segelintir alam syarikat yang bertampuk dalam minda korporat 90-an. Tapi ditegur mengapa pelajar ‘manja’ dan ‘keras kepala’ dalam alam pejabat?

Ah, mungkin ini juga cakap-cakap orang pesimis. Mungkin Malaysia boleh jadi utopia Nusantara kelak. Mungkin.

Leave a Reply