Agnes Keith, ‘Maharani Putih’ Sabah

Agnes Keith, ‘Maharani Putih’ Sabah

  • Post category:Sejarah

Oleh: Farahani R.

Agnes Keith, atau nama rasminya, Agnes Newton Keith (1901-1982) terkenal atas dua perkara yang ditinggalkannya: buku dan bekas rumahnya. David Thein pula menobatkan Agnes Keith sebagai “Sabah’s three white maharanis”. Maka, tulisan ini akan menelusuri hayatnya di Sabah melalui buku-bukunya dan kisah hantu rumahnya.

Lahir di Oak Park, Illinois dan mendapat pendidikan tinggi daripada Universiti of California, Berkeley; Agnes Keith mendewasa menjadi seorang wartawan di syarikat San Francisco Examiner. Selepas insiden serangan seorang kartunis ke atasnya, beliau terpaksa berehat sebentar di Eropah bersama abangnya Al.

Usai tamat tempoh istirahat itu, beliau menukar sedikit haluannya menjadi seorang penulis. Pada 1934, beliau menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini Harry G. Keith, seorang pegawai Inggeris di Borneo Utara. Sebagai isteri yang setia dan seorang pengembara yang laparkan benda baharu, mereka berlayar ke Borneo Utara – membawa semangat mimpi Amerika yang suka mempertikai sifat tradisional British.

Saat kaki beliau menjejak tanah Borneo, seperti orang putih yang lain, beliau juga amat menyukai ketenangan eksotik Sandakan. Sekali sekala beliau juga turut bersama dengan urusan Harry di kawasan pedalaman. Tertulislah manuskrip buku Land Below the Wind, karya naratif Borneo Utara yang segar, baharu dan berbaur kritik lawan ke atas superioriti Inggeris. Yang pasti, kesegaran kisah Borneo di mata seorang wanita Amerika lebih jujur dan humanistik berbanding tulisan-tulisan para pegawai lelaki Inggeris.

Karya menggoncang imej mistik dan misterinya Borneo Utara ini telah memenangi Atlantic Monthly Non-fiction Prize. Suatu pujian yang besar kepada seorang penulis dan pengembara wanita ke dunia bawah angin. Pujian ini jugalah, dalam diam, menjadi penyelamat Agnes Keith dan anaknya ketika Jepun melanggar Borneo Utara pula pada 1942.

Dalam bukunya Three Came Home, perjalanannya sebagai salah seorang tawanan dan ibu kepada seorang anak lelaki bernama Henry “George” Newton Keith tidak hanya membuka perspektif yang tidak akan dapat ditandingi mana-mana penulis memoir zaman penjajahan. Bahkan, Agnes Keith berjaya memanusiakan kelompok kecil tentera Jepun daripada celaru penghukuman moral yang lebih suka menjumlahkan satu sifat kepada keseluruhan masyarakatnya.

Buku terakhir yang menutup hikayat cintanya pada Borneo Utara adalah White Man Returns, menyaksikan senario seharian bersama dengan rakan/pekerja peribumi yang sudah biasa bekerja di bawah naungan keluarga Keith. Senario seharian ini juga tidak terbatas pada wilayah bicara seorang wanita kulit putih berdarjat dengan kaum peribumi. Seperti zaman ini, kesedaran massa melebarkan sayap pandangan berdasarkan perkembangan politik global. Agnes Keith, seorang penulis wanita tersohor dan terlibat rapat dalam urusan orang atas menebarkan kongsi tahu-dan-fikir sekembalinya mereka di tanah Borneo Utara.

Di mana pula harus kita dudukkan rumah hantu Agnes Keith? Kini hanya sunyi digigit pemelihara-pemulihara yang dibayar, barangan keluarga Keith membantu imbauan sejarah kita agar lebih nyata dan benar dari sekadar teks dalam trilogi seorang wanita Amerika yang merekod dunia masyarakat bawahan.

Berkunjung ke Rumah Agam Newlands, menerpa pula kenangan kolonial beralaskan barangan antik pegawai British dan reka bentuk banglo desa atas bukit di Sandakan. Memetik beberapa cerita yang dilaporkan oleh Rodly Fadly (Metro, 26 Mei 2017):

“Malah, pengalaman seram turut dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri kepada G L Carson yang menetap di situ selama 12 tahun (1955-1967). Rosemary tinggal seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu. Menurut Rosemary, dia terbangun pada waktu Subuh dan terdengar pintu di bilik hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti bunyi orang berjalan menuju ke biliknya. Apabila dia membuka mata, Rosemary mendapati satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil memerhati ke arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana selepas itu dia pengsan.”

Senarai yang lebih lengkap sengaja dipamerkan dalam rumah agam itu sendiri, mengenai kisah dan peristiwa misteri yang pernah dialami oleh sesiapa yang duduk di rumah tersebut.

Agnes mungkin melakukan keputusan yang baik untuk tidak terlalu memikirkan kejadian penampakan ini sehingga membiarkan para pembaca memoirnya turut resah dengan rumah agam itu. Sebaliknya, acap kali rumah agam tersebut hanya melatari serba-serbi hidupnya. Rumah tersebut berdiri di waktu pra-perang. Berdiri kekal ketika pasukan Jepun menawan Sandakan dan sempat menangisi keluarga Keith diangkat pergi. Runtuh diratakan tahi garuda perang. Berdiri kembali pasca-perang.

Agnes, dalam satu cara yang unik, adalah wanita berbangsa Amerika, seorang penulis sejarah Sabah yang mengharumkan Sabah (secara eksklusifnya) sebagai ‘tanah di bawah Bayu’ – suatu gelar yang terpakai dengan penuh bangga sehingga kini.

Leave a Reply