WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
Agent Orange

Agent Orange

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Antara kata-kata yang bagi saya sangat hebat dan memberi kesan pada jiwa adalah ucapan Carl Sagan berkenaan dengan Pale Blue Dot yang juga merupakan tajuk buku beliau. Ucapan ini merupakan refleksi Sagan apabila mengamati gambar planet bumi yang ditangkap oleh Voyager-2 semasa misi di Neptune, dimana kamera Voyager-2 telah diarah untuk menghadap semula ke bumi dan mengambil gambar planet asalnya. Dari gambar ini, bumi kelihatan sebagai sebuah titik biru kecil yang memancarkan cahaya biru yang pucat. Sagan dalam ucapannya menyebut “betapa bersemangatnya manusia untuk membunuh sesama sendiri” untuk menjadi “penguasa sementara habuk kecil ini”.

Ramai dari populasi dunia terkejut apabila Syria dituduh oleh Amerika dan sekutu Barat mereka kerana menggunakan senjata kimia di Douma pada April 2018. Ia merupakan perbuatan yang dianggap kejam dan melangkaui semua batas-batas kemanusiaan. Amerika, Britain dan Perancis segera melancarkan serangan udara pada bulan yang sama keatas beberapa tempat strategik di Syria sebagai membalas penggunaan senjata kimia ini. Namun Syria bukanlah negara pertama yang menggunakan senjata kimia ini sekiranya tuduhan yang berlaku di Douma itu betul.

Saya pertama kali membaca berkenaan Agent Orange ketika membaca naskah terkenal yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1988 yang bertajuk Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media yang dikarang oleh Edward S. Herman dan Noam Chomsky. Walaupun buku ini pada asasnya membincangkan bagaimana media menjadi alat propaganda walaupun tidak secara explicit, ia juga membincangkan dengan begitu teliti kempen peperangan yang gagal oleh Amerika di Indo-China yang hari ini merangkumi Vietnam, Kemboja, dan Laos. Antara kekejaman Amerika yang terkenal pada ketika itu adalah My Lai Massacre dimana dianggarkan 300-500 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh oleh tentera Amerika.

Menurut satu kertas kajian yang ditulis Claus Jacob dan Adam Walters berkenaan dengan risiko dan tanggungjawab dalam penyelidikan kimia berkenaan Agent Orange, penggunaan sebatian kimia ini yang digunakan untuk tujuan ketenteraan pernah pada awalnya digunakan oleh pihak British semasa Darurat Malaya (1948-1960) untuk melawan Parti Komunis Malaya dan Tentera Pembebasan Rakyat Malaya. Namun kegunaan tersebut masih dalam skala kecil mengikut Jacob dan Walters berbanding kegunaan pewaris kepada kuasa imperial dunia dari British, iaitu Amerika. Amerika semasa kempen perang mereka di Indo-China menggunakan senjata kimia ini secara meluas dengan bantuan produksi dari syarikat seperti Dow, Monsanto, Hercules Inc. dan Diamond Shamrock. Menurut Jeanne Mager Stellman et al. lebih 7 juta liter bahan kimia termasuk Agent Orange disembur semasa perang di Vietnam.

Agent Orange merupakan sebatian kimia yang mengandungi dioxin 2,3,7,8-tetrachlorodibenzo-p-dioxin (TCDD), TCDD merupakan dioxins yang paling toksid dan diklasifikasikan sebagai carcinogen kepada manusia – bahan yang menyebabkan kanser. Menurut Arnold Schecter et al. penggunaan sebatian ini semasa perang Vietnam mencetuskan pencemaran TCDD yang terbesar dalam sejarah. Pencemaran ini menyebabkan peningkatan kes kanser juga kelahiran cacat kerana terdedah dengan bahan berbahaya ini. Antara aspek yang terjejas teruk adalah sumber makanan yang tercemar, sebatian TCDD ini dijumpai di dalam ikan, daging dan juga produk tenusu. Proses pembersihan juga sukar dan hampir mustahil dilakukan kerana ia telah tersebar dan meresap ke tanah. Kesan ini masih boleh dilihat setelah beberapa generasi.

Agent Orange ini walaupun mempunyai kesan buruk jangka panjang selepas tamatnya perang, ia hanyalah cebisan kecil dari kreativiti manusia untuk membunuh manusia lain. Hanya Homo Sapien yang menunjukkan sikap ini, sikap kreatif dalam membunuh spesis mereka sendiri. Kita tidak melihat gorilla atau lembu atau belalang mencipta persenjataan canggih baik kimia, biologi, atau radiasi untuk membunuh spesis mereka sendiri. Perkara ini perlu difikirkan kita generasi kini, juga diturunkan kepada generasi akan datang, agar kita sedar akan kesilapan ini dan tidak mengulanginya. Bukankah lebih baik kita menghabiskan tenaga kita mencari perkara yang boleh meningkatkan kualiti hidup semua manusia di planet ini, berbanding berlumba-lumba membunuh sesama sendiri untuk menguasai sebahagian habuk kecil seperti yang diperkatakan oleh Sagan.

Leave a Reply

Close Menu