Adakah fungsi manusia untuk menjadi economic animal?

Adakah fungsi manusia untuk menjadi economic animal?

  • Post category:Ekonomi

Oleh: Syed Ahmad Fathi

Saya pertama kali mendengar manusia sebagai economic animal dari syarahan Dr. Abdullah Sudin di Bangi, tentang bagaimana pendidikan dan konstruk sosial menjadikan manusia hari ini tidak lebih dari haiwan, yang seluruh hidupnya ditujukan untuk mencari makanan dan membiak, cumanya mereka haiwan yang lebih tinggi kerana mempunyai tugas ekonomi. Tetapi dia dibentuk dan dijadikan tidak lebih dari itu, sebagai salah satu faktor dalam pengeluaran dan produksi dalam sistem ekonomi.

Perkara ini tidaklah begitu sukar untuk kita lihat hari ini, manusia hari ini dilahirkan, disekolahkan, diuniversitikan untuk menjadi pekerja di kilang dan pejabat. Ke universiti manapun kita pergi, telinga kita tidak boleh lepas dari terdengar perkataan “keboleh-pasaran mahasiswa”, ia didebatkan, dibincangkan, dan distrukturkan dalam rangka pendidikan. Mahasiswa dicipta untuk “dipasarkan” seolah-olah itulah tugas manusia, setelah matang dan dewasa dia perlu segera dipasarkan sebelum basi. Mahasiswa yang gagal “dipasarkan” dipandang hina, dipandang sebagai keluaran yang tidak bagus, tidak bernas, tidak produktif untuk ekonomi negara dan dunia.

Bukanlah kita mahu menafikan kepentingan kerja atau pekerjaan, atau kepentingan sistem ekonomi yang produktif, tetapi dengan mencetak manusia-manusia yang hanya berfungsi sebagai economic animal, kita sering terlepas dari membangunkan manusia yang benar-benar manusia. Sistem dan konstruk ini bukan sahaja merugikan manusia kerana tarafnya direndahkan kepada hanya sebagai faktor pengeluaran ekonomi, tetapi kepada dunia, dunia yang rosak kerana kehilangan nilai “manusiawi”, dunia ini rosak ekosistemnya, flora dan faunanya, fabrik masyarakatnya, kerana semuanya diukur dengan nilai ekonomi, bukan lagi manusiawi. Kita melihat hari ini pelbagai isu timbul, bagaimana di pendidikan tinggi “seni” tidak dianggap sebagai subjek pembelajaran yang berguna untuk manusia atau hutan simpan kekal ditukar tarafnya untuk pembangunan, semuanya dilihat dalam kerangka apa yang boleh meningkatkan pengeluaran ekonomi. Inilah antara aksiom yang dikritik oleh David Orrell dalam bukunya Economyth, dimana sistem ekonomi menganggapkan bahawa sumber asli itu boleh dieksploitasi tanpa had bagi tujuan kemajuan ekonomi, walaupun hakikatnya sumber asli bersifat terbatas.

Secanggih dan sekuat manapun daya usaha untuk mencipta manusia untuk dijadikan sebagai faktor pengeluaran dalam ekonomi dan sebagai pengguna kepada produk-produk ekonomi, ia tetap tidak dapat mengubah sifat manusia yang bukan sahaja perlukan pada kemajuan ekonomi, tetapi manusia juga mempunyai aspek intelek, emosi dan spiritual yang selalu dikesampingkan dalam keghairahan melahirkan lebih ramai economic animal. Banyak subjek-subjek yang hilang dari sukatan pelajaran kita, hakikatnya “keboleh-pasaran” manusia itu, apabila ia mula bekerja ia hanya menggunakan 8 jam dari 24 jam kehidupan hariannya. Baki 16 jam itu manusia akan hidup dalam masyarakat, bersama jiran, dan bersama keluarga. Namun kita tidak menyediakan generasi kita untuk menjadi ahli keluarga atau masyarakat, tiada subjek pendidikan baik di sekolah atau universiti yang mengajar manusia perihal cara untuk menjadi suami, atau menjadi isteri, atau menjadi ayah, atau ibu, atau jiran. Maka lahirlah manusia yang hanya berfungsi di pejabat dan kilang, tetapi hilang punca apabila ia pulang ke dalam masyarakat.

Mungkin economic animal merupakan terma yang terlalu biadap dan sukar untuk dijual kepada masyarakat. Maka ahli ekonomi menjenamakannya sebagai Homo economicus atau manusia ekonomi. Manusia ekonomi ini diandaikan sebagai konsisten dalam sifat rasionalnya dan sentiasa berusaha meningkatkan nilai kepenggunaan sebagai pengguna dan meningkatkan nilai keuntungan sebagai pengeluar. Namun tentu sekali Homo sapiens tidak sama dengan Homo economicus yang merupakan fantasi kebanyakan ahli ekonomi. Setiap hari kita melihat bagaimana manusia bersifat dengan sifat-sifat yang tidak rasional. Bagaimana manusia menolong orang lain tanpa ada keinginan untuk meningkatkan “nilai kepenggunaan” atau “nilai keuntungan”. Semua ini menunjukkan bahawa manusia itu merupakan makhluk yang kompleks, tidak boleh diturunkan tarafnya kepada hanya economic animal atau Homo economicus.

Kesedaran kita terhadap perkara ini akan membuat kita merenungi tentang generasi yang bagaimana yang mahu kita cetak untuk kita wariskan bumi ini kepada mereka, dan bumi yang bagaimana yang kita mahu wariskan pada mereka. Dan jika kita sedar akan hakikat ini, bahawa sifat kompleks manusia memerlukan sistem pendidikan yang kompleks, yang bukan hanya membangunkan mereka sebagai makhluk-makhluk ekonomi yang sehari-hari hanya menjadi pengeluar produk dan pengguna produk. Tetapi seharusnya sistem pendidikan itu membangunkan manusia dengan adil terhadap semua fakulti keinsanan yang mereka ada. Sudah tiba masanya kita membangun generasi baru yang bukan hanya generasi “pasar” tetapi generasi yang lengkap baik intelektual, emosi, rohani dan ekonomi.

Leave a Reply