5 Pesan Yuval Harari untuk Masyarakat Abad ke 21

5 Pesan Yuval Harari untuk Masyarakat Abad ke 21

  • Post category:Perkongsian

Oleh: Farahani R

Saya mengenal Yuval Noah Harari dari namanya yang tercetak di hadapan buku yang dikatakan kontroversial: dijudulkan ‘Homo Sapien’, ‘Homo Deus’ dan ’21 Lessons for the 21st Century’. Untuk dua judul pertama, bagi saya bukanlah suatu perkara yang agak mengejutkan kerana perspektif sejarah yang dibina beliau itu berlandaskan kepada fahaman bahawa manusia dikatakan sememangnya berevolusi.

Saya menyelak buku ’21 Lessons for the 21st Century’ yang tersimpan kemas di salah sebuah rak perpustakaan universiti. Saya tertarik untuk membacanya kerana nama beliau kontroversial. Selain dari posisinya sebagai seorang ateis yang homoseksual, lahir sebagai Yahudi dan turut mengkritik agama termasuklah agamanya sendiri, beliau nampak seorang manusia yang menarik untuk dibaca dan dicabar jika perlu.

Berikut adalah perkara yang saya belajar daripada buku beliau;

1. Sesiapa yang kawal data; kawal dunia.

Saya selalu memikirkan bahawa jika kita mengawal sejarah dan media, kita mampu mengubah naratif dan pandang dunia masyarakat pada waktu itu. Yuval Harari menunjukkan saya bahawa untuk abad ke-21, data merupakan suatu komoditi yang sangat besar. Google, gagasan triniti Zuckerberg (Facebook, Instagram, WhatsApp) dan syarikat e-perniagaan mengejar data peribadi dengan susunan algoritma yang dicipta semakin pandai tiap hari. Untuk apa? Untuk meramal manusia dan tindakannya. Untuk menjadikan manusia, pilihan dan tindakannya sebagai produk. Tidak lagi sebagai pengguna atau klien.

2. Migrasi bukanlah satu perkara yang asing dalam sejarah dunia.

Mitos kebangsaan itu sudah wujud sejak manusia sudah rasa keperluan untuk berorganisasi. Namun ketika itu, imigrasi adalah suatu perkara yang normal. Mungkin untuk generasi manusia nomad, ia hanyalah satu rutin yang biasa. Kini, sempadan politik itu diangkat setingginya dan digariskan sebagai salah satu ciri daulat yang perlu dimiliki oleh sesebuah negara yang layak diiktiraf.

Terdapat dua cara untuk melihat keadaan imigran. Sama ada mereka seharusnya dikekalkan sebagai minoriti, ataupun untuk mereka sepenuhnya mengamalkan hegemoni budaya majoriti. Hal ini boleh dibuktikan dengan tindakan beberapa negara seperti Myanmar dan China yang masing-masing bertegas bahawa agama itu setaraf dengan bangsa. Maka diskriminasi itu perlu, jika dilihat dari pandangan mereka.

3.Kerosakan sekularisme

Pada awalnya, sekularisme dijana oleh rasionalisme dan kemajuan bidang saintifik iaitu untuk memisahkan kesan dogma agama dengan ilmu bagi mendapatkan kebenaran dan kewajaran sesuatu ilmu. Dasarnya baik, namun pada waktu ini, sekularisme itu sendiri sudah pun rosak kerana ia secara tidak langsung menolak hak orang untuk percaya pada agama, Tuhan dan hak mereka untuk menggabungkan keduanya. Tidak semua orang mampu menjadi sekularis, dan tidak semua orang mampu menjadi teologis.

Sekularisme juga tidak boleh bertahan dengan dirinya sendiri kerana jika kita lihat, masyarakat Barat sendiri amat menyukai budaya dan adab Timur khususnya yang sudah pun dikomersialkan dalam bentuk kesihatan seperti Yoga, meditasi dan lain-lain. Jadi apakah sekularisme harus dipegang (malah dipaksa-sumbatkan) oleh Barat kepada masyarakat dunia lain sebagai satu-satunya budaya yang wajar dan waras dalam dunia abad ke-21?

4.Pasca-Kebenaran (Post-Truth)

Kadangkala, informasi yang diulang-ulang meskipun salah, tetap akan difahami sebagai suatu yang benar. Apabila ia diulang cukup lama, ia akhirnya dilihat cukup layak untuk menjadi suatu fakta sejarah. Misalnya, tentang kejahatan Hitler.

Kejahatan Hitler terlalu diperbesar-besarkan oleh saluran pseudo-sejarah History Channel di Astro. Kejahatan Hitler terlalu di gembar-gembur oleh media Barat sebagai suatu Dajjal yang harus kita matikan dalam keadaan yang terhina. Kejahatan Hitler sebenarnya, tidak banyak berbeza dengan pemimpin Empayar Rom. Tidak banyak berbeza dengan pemimpin Empayar Parsi. Tidak banyak berbeza dengan pemimpin sebelumnya. Perang, menjadikan seorang baik menjadi seorang pembunuh dalam sekelip mata saja. Apa yang memalaikatkan kegilaan Nero yang membunuh kaum Kristian, atau putera-putera gila kuasa di zaman Perang Salib untuk membunuh tentera Turki Uthmaniyah (yang kebanyakannya Islam)? Just War (perang yang adil), kata St. Augustine.

5. Perubahan pendidikan itu perlu.

Pendidikan adalah salah satu peralatan negara sama ada untuk mendidik bangsa dan generasinya, atau untuk mencuci suatu kekotoran masa lalu di minda anak muda yang tidak hidup pada waktu kedosaan sesebuah negara. Namun begitu, kedua-dua alasan ini adalah alasan yang semakin berhabuk lagi lapuk kerana abad ke-21 tidak lagi menekan pentingnya bangsa.

Abad ke-21 mulai mementingkan produktiviti tenaga rakyatnya untuk maju ke depan. Alasan pembinaan bangsa itu sudah yang sudah tercambah asasnya sejak bermulanya institusi empayar dan kerajaan dunia. Namun teknologi, khususnya dalam pembinaan tenaga kemahiran dan kepakaran – asasnya adalah hari ini.

Malah, paradigma pendidikan yang berteraskan nilai mungkin lebih relevan. Nilai murni, nilai inovatif dan kreativiti adalah elemen yang membezakan manusia dengan robot. Robot hanya boleh memproduksi kreativiti manusia yang lepas, tapi ia tidak akan boleh memproduksi kreativiti dan inovatifnya manusia dalam suatu keadaan yang belum dipelajarinya.

Post-skrip: Ya, dalam bukunya memang 21 pengajaran namun bagi saya, 5 pesanan ini sudah cukup untuk menyingkap refleksi keadaan dunia pada masa ini. Saya tidak ingin menukil sebuah resensi buku (sepenuhnya) kerana buku ini hanyalah pendapat seorang pemerhati dunia yang kritikal. Ia tidak begitu berat dan saratnya lebih kepada merangka pertanyaan dan keperluan untuk menjawabnya.

Leave a Reply