WACANA

Membincangkan isu-isu falsafah, ideologi, seni, sastera, tokoh, sejarah, gerakan mahasiswa, pendidikan, alam sekitar, kemiskinan, gender, kesihatan, politik, untuk advokasi sosial.

  • borneokomrad1@gmail.com
wacana
1, 2, 3… A B C…
gambar kredit kepada https://www.facebook.com/SekolahAlternatif.MY

1, 2, 3… A B C…

Oleh: Suardy bin M. Natsir

“Cikgu, itu apa?” Tanya seorang pelajar di situ padaku

“Itu nombor 6 Bibiey.” Aku berikan jawapan sambil senyum kepadanya.

“Alah, itupun kau ndataukah Bibiey?” Madan menyampuk sambil ketawa.

“Elleh kau Madan, macam seja kau pandai.” Bibiey membalas sampukkan tersebut.

“Biarlah si Bibiey tu Madan, kamukan memang sama-sama mau belajar.” Aku menamatkan pergelutan mereka.

Sepanjang saya duduk dengan kanak-kanak ini, banyak perkara yang menggusarkan saya. Kanak-kanak yang dimaksudkan dalam tulisan saya di sini ialah kanak-kanak tanpa negara. Isu tentang kanak-kanak tanpa negara ini merupakan sebuah isu yang amat sensitif dan tidak mendapat tempat dalam masyarakat kita sendiri terutama di Sabah. Perbincangan tentang isu ini juga akan membawa kepada perlawanan bukan sekadar dengan pembuat polisi malah ia akan membabitkan perlawanan dengan masyarakat. Mandala perbincangan tentang isu ini tidak akan ditekankan dalam tulisan ini. Perkara yang cuba dibawa melalui tulisan ini ialah bagaimana status kanak-kanak tanpa negara ini telah menyebabkan mereka dinafikan hak untuk memperoleh pendidikan yang sewajarnya.

Pendidikan merupakan sebuah hak asasi yang wajib dimiliki oleh setiap manusia. Pendidikan ini seperti sebuah pentas teater yang menyediakan setiap watak-wataknya untuk memainkan peranannya masing-masing di pentas tersebut. Malah, kita percaya bahawa dengan pendidikan manusia itu mampu bebas. Bebas yang dimaksudkan di sini ialah bebas daripada kebodohan atau kepandiran.

Pada tahun 2005, SUHAKAM telah menerbitkan sebuah dokumen berkaitan dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Dalam dokumen ini dinyatakan bahawa Malaysia mengekalkan reservasi terhadap perkara 1,2,7,13,14,13, 28 (1)(a) dan 37  dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Dalam tulisan ini, perkara 28 (1)(a) adalah perkara yang paling dekat berkaitan dengan hak pendidikan Kanak-Kanak Tanpa Negara ini. Perkara 28 (1)(a) adalah seperti berikut:

Negara-negara pihak mengiktiraf hak kanak-kanak kepada pendidikan dan dengan tujuan untuk mencapai hak ini secara berperingkat-peringkat dan atas dasar peluang yang sama, mereka hendaklah secara khususnya:

  1. Menjadikan pendidikan rendah diwajibkan dan diadakan secara percuma kepada semua.

Namun, apa pun yang dinyatakan dalam konvensyen ini, Malaysia secara umumnya telah gagal dalam memastikan hak Kanak-Kanak Tanpa Negara ini dalam memperoleh pendidikan yang sepatutnya.

Dalam usaha untuk memastikan pendidikan ini terus berjalan kepada Kanak-Kanak Tanpa Negara, badan bukan kerajaan seperti Cahaya Society telah menyediakan Program Pendidikan Alternatif kepada Kanak-Kanak Tanpa Negara ini. Selain daripada badan bukan kerajaan, Borneo Komrad yang dibarisi oleh mahasiswa dan mahasiswinya telah membina Sekolah Alternatif untuk memastikan kanak-kanak ini memperoleh pendidikan. Selain daripada kumpulan-kumpulan ini, terdapat juga kumpulan-kumpulan advokasi lain yang turut menggerakkan pendidikan untuk Kanak-Kanak Tanpa Negara ini.

Pendidikan yang diterapkan kepada kanak-kanak tanpa negara ini bukanlah pendidikan yang pada hujungnya akan ada juara. Di samping dalam memberikan pengetahuan, pendidikan ini juga mempersiapkan mereka menghadapi realiti kehidupan yang akan mereka hadapi nanti. Apabila disebut realiti sini, kita jangan membayangkan bahawa realiti kanak-kanak ini seperti kanak-kanak yang diiktiraf kewarganegaraannya. Kanak-Kanak Tanpa Negara ini, seawal usianya sudah menjadi buruh kanak-kanak. Bayangkan tubuh kanak-kanak yang sudah terpaksa menjadi buruh. Ada yang ke kilang ais batu untuk menyorong ais dan ada juga kanak-kanak yang menjadi tukang sorong barang-barang di hadapan pasar raya dengan menggunakan kereta sorong. Jika ditanya kenapa bekerja? Jawapan mereka adalah untuk mendapatkan wang poket dan diberikan kepada ibu bapa mereka. Terdapat juga hal yang akan membuatkan kita sebak sementara. Duit poket hasil daripada pekerjaan yang mereka lakukan akan turut dikongsi bersama kawan-kawan yang lain.

Kanak-Kanak Tanpa Negara yang saya temui di ruang advokasi ini adalah sebahagian kecil daripada Kanak-Kanak Tanpa Negara yang ada di Sabah. Sekalipun banyak kumpulan advokasi yang telah memberikan pendidikan kepada mereka, keadaan ini tidak wajar untuk berterusan. Para advokator yang berada dalam gelanggang ini hanya meneruskan kapasiti mereka dalam memberikan hak-hak pendidikan. Pembuat polisi, orang-orang berkepentingan seharusnya duduk bersama dengan para advokator yang mengangkat isu ini untuk mencari jalan penyelesaian. Pendidikan wajib untuk tidak tersisih buat Kanak-Kanak Tanpa Negara ini.

Ketika tulisan ini sedang disiapkan, Sabah telah mengalami kenaikan kes Covid-19. Kebanyakan daerah-daerah telah diisytihar sebagai zon merah. Ruang-ruang yang menyediakan pendidikan kepada Kanak-Kanak Tanpa Negara ini telah ditutup sementara waktu. Kerisauan adalah dalam memastikan pendidikan terus berlangsung dalam keadaan ruang-ruang advokasi ini ditutup sementara. Namun, dengan mengambil kira latar keluarga Kanak-Kanak Tanpa Negara ini, paling utama adalah memastikan mereka sentiasa dalam keadaan yang baik dan sihat. Buat para advokator yang terus memperjuangkan isu ini, semoga kalian semua terus melawan dan kuat.

Saat ini, dalam ruangan kesunyian semasa PKPB kedengaran di gegendang telinga suara Kanak-Kanak Tanpa Negara ini.

‘Bibiey, huruf apaini?’

Bibiey sambil-sambil menggaru kepala, ‘huruf b cikgu!’

‘Alah kau ni Bibiey, huruf b kunu tu. Huruf d baitu dupang.’ Madan memperkecilkan Bibiey

‘Ya bah Bibiey, huruf b sama d pun kau ndataukah?’ Azhar menambah rencah dalam suasana.

‘Elleh kamu tu, macam seja kamu pandai bah.’ Bibiey melawan Azhar dan Madan.

‘Sudah-sudah, sama seja kamu tu semua. Kalau si Bibiey salah, kamulah ajar dia nanti bah.’ Aku menenangkan keadaan.

‘Ok aa Bibiey, ini huruf d bukan huruf b. Jangan kau terbalik-terbalik lagi aa Bibiey.’

‘Ohh huruf d.’ Bibiey menerima kesalahannya.

Sekian.

Leave a Reply

Close Menu